Isu guru menampar atau melempang murid kembali hangat disensasikan oleh pihak akhbar dalam bulan Februari ini. Kes pelajar tingkatan dua menerima amukan guru di Kota Baharu yang dilaporkan oleh harian Metro misalnya, turut sedikit sebanyak meninggalkan kesan negatif kepada kerjaya keguruan.


KOTA BHARU: Kerana mengeluarkan perkataan ‘celaka cikgu’, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, trauma selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘amuk’ seorang guru dalam kejadian pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari tandas sebelum diminta mengeluarkan buku nota oleh guru terbabit. Bagaimanapun, mangsa yang belum sempat berbuat demikian tergamam apabila guru berkenaan secara tiba-tiba menarik kerusinya hingga terjatuh sebelum menarik baju serta mencekik bahagian mulut dan belakang lehernya.

Difahamkan, guru yang mendakwa terdengar mangsa mengeluarkan perkataan biadap itu kemudian merotannya sebanyak dua kali sebelum guru besar tiba ke kelasnya.


Wa percaya jika persoalan wajar atau tidak guru tersebut bertindak sedemikian diajukan kepada warga guru (terutamanya guru lelaki), nescaya 99.99% daripada mereka akan menjawab “kalau aku, akupun akan lempang (tampar) pelajar tersebut. Kurang ajar sangat.” Bahkan wa percaya akan ada jawapan “kalau aku bukan setakat lempang, penerajangpun akan singgah kat muka pelajar tersebut.”


Dari sudut perundangan, tindakan tersebut memang SALAH. Mana ada kebenaran mana-mana guru melempang pelajar mereka? Mungkin ramai yang berhujah guru tersebut di provoke yang menyebabkan mereka hilang kawalan diri. Kalau kes ini benar-benar ke mahkamah, kita nantikan keputusannya.


Kebetulan pula, beberapa hari yang lalu, member setugas isteri wa ada mengadu pada wa akan hal anaknya kena tampar oleh seorang guru di sekolah sampai merah dan ada kesan di pipi. Untuk pengetahuan, anak member isteri wa ni bersekolah di sebuah sekolah rendah dan sebab mengapa dia mendapat hadiah penampar tersebut adalah kerana dia tidak membuat kerja sekolah (rumah). Oleh kerana wa juga adalah guru, wa cadangkan kepada member isteri wa tadi supaya pergi ke sekolah untuk berjumpa dengan Guru Besar dan guru yang terlibat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Nasihat wa nampaknya diikuti. Walau bagaimanapun wa tidak pasti sama ada perkara tersebut dapat diselesaikan atau tidak. Atau mungkin akan berlanjutan ke mahkamah juga.


Isu guru menampar murid nampaknya tidak pernah kunjung padam. Wa tercari-cari juga sebab musabab mengapa sebahagian guru mempunyai hobi (menampar murid) nan satu ini. Mungkin kerana ramai guru berdarah pahlawan macam wa. Bezanya, mungkin mereka fikir dengan tiket mempunyai darah pahlawan, mereka boleh buat apa saja pada murid-murid mereka. Pahlawan kangkong memang suka berlawan dengan budak-budak tanpa memikirkan tindakan itu memalukan atau tidak.


Mungkin juga mereka terlalu menghayati peranan guru ‘sebagai penganti ibu bapa’ di sekolah. Mereka ini fikir peranan ibu bapa yang paling penting ialah bagi penampar kat anak-anak. Hal ini mungkin disebabkan dari pengalaman lalu mereka yang asyik menerima pelempang daripada ibu dan bapa mereka apabila melakukan sesuatu kesalahan, tak kira kesalahan kecil atau besar.


Mungkin juga sebahagian guru ini menerima ajaran sesat semasa di universiti atau maktab dulu. Antara ajaran sesat tersebut adalah guru perlu garang untuk mendisiplinkan pelajar mereka. Kalau kelas bising, bagi pelempang kat seorang, nescaya satu kelas akan senyap. Mungkin teori ini berjaya pada era Pop yeh yeh (1970an), dan era Rock (1980an), tetapi di era 2010 ni rasanya akan ramai guru naik turun ke mahkamah.


Mungkin juga sebahagian guru ini memang menghidapi penyakit pelbagai personaliti. Misalnya kadang-kadang guru ini walaupun sedang mengajar tetapi dengan tiba-tiba personalitinya berubah menjadi seorang pengusti (wrestler). Walaupun hakikatnya guru tersebut sedang berhadapan dengan seorang pelajar tingkatan 1 misalnya, namun pada guru ini mereka terperasan sedang melawan John Cena, Randy Orton, Shawn Michael, Triple H, atau Undertaker. Lalu…kena le penampar bertalu-talu atau sebarang gaya penamat para pengusti tersebut kepada pelajar tersebut. Kesian.


Dan pelbagai kemungkinan lain yang menyebabkan tindakan tersebut berlaku…


Bagi sesetengah warga guru mungkin tidak bersetuju dengan pandangan wa. Mereka dengan sepantas kelajuan cahaya (ikut istilah cerita Star Trek) akan menyalahkan pelajar apabila timbul kes guru melempang pelajar ini. Pelajar hari ini kurang ajarlah. Pelajar hari ini teruklah. Pelajar hari ini lain macamlah. Pelajar hari ini dimanjakan oleh ibu bapalah. Kemudian mereka mungkin akan menyalahkan ibu bapa kerana terlalu ‘memanjakan’ anak-anak mereka. Mereka akan kata ‘ibu bapa sekarang sikit-sikit ke sekolah, sikit-sikit ke balai polis buat laporan.’ Bagi wa apabila anak-anak dilempang atau ditumbuk, itu bukan hal ‘sikit-sikit’. Itu hal besar. Memang tanggungjawab ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka daripada perlakuan yang kurang dan tidak wajar. Guru perlu menjadikan pelbagai tingkah laku anak-anak didik sebagai cabaran. Allah memang menjadikan manusia (termasuk anak-anak murid) dengan pelbagai ragam. ‘Anak-anak adalah dugaan bagi ibu bapa’. Guru-guru perlu faham hakikat ini. Dugaan bagi ibu bapa, turut bermakna dugaan bagi para guru. Kalau semua anak-anak dilahirkan secara terus pandai, terus baik, terus berdisiplin, maka tidak perlulah lagi dunia ini akan kerjaya keguruan. Buat apa kerajaan membayar gaji guru berbillion ringgit setahun jika anak-anak kita memang sudah menjadi ‘insan yang kamil’ sedangkan guru tidak berperanan, lantaran anak-anak telah dilahirkan terus baik atau terus pandai.


Sebagai guru, wa juga bukan mandul. Wa ada anak. Wa juga tak rela anak-anak wa ditampar sewenang-wenang oleh rakan-rakan guru yang lain dan di sekolah lain. Kalau salah, hukumlah dengan hukuman yang wajar, setimpal dan ikut peraturan, seboleh-bolehnya berbentuk pengajaran. Anak wa bukan punch bag sesiapa yang nak melepas geram. Mungkin guru yang suka melempang (menampar) anak murid hatta disebabkan kesalahan kecil ini juga rela anak-anak mereka dilempang oleh guru (orang) lain jika melakukan kesalahan, walaupun hanya satu kesalahan kecil. Wallahualam.
Wa kata yang betul: musangman
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger template by blog forum