Tanggapan negatif guru terhadap kerajaan akan ditangani
15/09/2010 8:16pm

"PASIR MAS 15 Sept — Usaha akan dilakukan bagi membetulkan tanggapan negatif guru terhadap kerajaan yang menyebabkan ia tidak mendapat sokongan total pada pilihan raya umum lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Beliau berkata, jika tanggapan negatif itu tidak dapat diubah ia menyukarkan usaha kerajaan untuk mendekati mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"Ada kebenaran terhadap persepsi negatif terhadap kerajaan ini kerana sudah tentu kita sudah menang banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

"Paling penting bagaimana usaha kita untuk berdamping dan menjelaskan isu-isu bagi membetulkan kembali persepsi itu dan seterusnya menyokong kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan dan Pasir Mas di sini, hari ini.

"Mustapa yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kerajaan perlu memastikan guru dan pesara guru diberi perhatian agar mereka tidak menganggap seolah-olah kerajaan meminggirkan mereka dalam sesetengah perkara. — Bernama

Komen Wa:


"Wa fikir sudah tidak menjadi rahsia umum bahawa kebanyakan pegawai kerajaan, khususnya guru tidak mengundi (menyokong) Barisan Nasional yang merupakan parti yang membentuk kerajaan sedia ada dalam PRU ke 12 yang lalu. Walaupun tiada kajian rasmi dibuat tetapi daripada analisis SWOT (Strenght, Weakness, Oppurtunities dan Treatment) dan BOS (Blue Ocean Strategies – Enhance, Reduce, Create dan Eliminate) yang dilakukan oleh kebanyakan Bahagian UMNO, hakikat ini sukar disangkal.


Mengapa kakitangan kerajaan, khususnya guru-guru tidak menyokong kerajaan? Benarkah mereka tidak bersetuju kepada kerajaan kerana dasar kerajaan yang tidak mesra rakyat? Benarkah mereka tidak bersetuju kerana mereka mendapati pelaksanaan dasar dan program kerajaan penuh dengan unsur-unsur ketirisan, korupsi (rasuah) dan nepotisme (pilih kasih)? Benarkah mereka benar-benar mahu perubahan dalam pentadbiran kerajaan…lalu kerajaan yang kelihatan banyak kelemahan ini ditukarkan kepada sebuah kerajaan yang lebih baik (good governance)?


Wa angkat tangan dan kaki kalau seseorang (termasuk guru) itu menjadi kritikal kepada kerajaan disebabkan perkara di atas. Wa tangkap nangis kalau jumpa guru yang masih hidup jenis ini...


Namun dari pemerhatian wa…tak semua guru yang menyokong pembangkang disebabkan perkara-perkara di atas. Malah dari pemerhatian wa (melalui kacamata) kebanyakan yang menentang kerajaan bukan kerana mereka percaya, yakin, faham dan tulus terhadap perjuangan pembangkangpun. Kebanyakan guru menentang kerajaan atas alasan yang samar-samar sebabnya, malah lebih kepada masalah peribadi mereka. Mereka menentang kerajaan hari ini (government of the day) kerana mereka mendapati mereka tidak berpeluang menjadi sebahagian daripada satu kelompok manusia yang boleh memunggah dan membolot setiap inci harta kekayaan negara (seperti tanah, rancangan Felda, rancangan Felcra, kontrak kerajaan, dan sebagainya) ini. Pendek kata…mereka menentang kerajaan kerana mereka marah. Marahkan sebab apa? Mereka marah sebab tidak mendapat tanah. Marah tak dapat projek kerajaan. Marah tak dapat jadi peneroka felda. Marah tak dapat jadi Ahli Majlis Daerah dan pelbagai marah lagi.


Di sekolah wa misalnya, rata-rata guru yang selalu menghentam kerajaan (walaupun cuma di hadapan rakan guru) bukanlah guru yang boleh dicontohi, malah jenis guru yang cakap tak serupa bikin. Mereka inilah jenis yang kuat mengungkit dan mengomel apabila diminta hadir pada hari Sabtu. Mereka inilah yang kuat menyuarakan ketidakpuasan hati apabila diminta bertugas di luar masa, atau apabila diberi pelbagai tugas (dalam takwim sekolah), walhal bukan semua tugas tersebut dilaksanakan. Mereka inilah yang sering mencari salah pihak pentadbiran, tanpa ada sebarang cadangan membina, malah kalau ada cadanganpun…cuma cadangan agar tak ada kerja lebih diberika…kalau boleh agar dikanselkan program tuisyen, latihan dalam perkhidmatan dan kokurikulum. Mereka jenis inilah yang suka tidak menghantar buku rekod mengajar, menanda dan memeriksa buka nota dan latihan pelajar. Mereka inilah yang kerap tidak hadir mesyuarat dan kursus. Mereka inilah yang membangga-banggakan diri sebagai guru senior, dan menyalahkan guru junior...konon guru junior tak pandai mengajar, atau tidak tahu buat kerja (macamlah mereka tahu sangat buat kerja). Mereka inilah yang jenis terhegih-hegih dan jelas ketara (di mata rakan guru) mengampu Pengetua. Malah ada yang turut terlibat dalam skandal ‘raba meraba’ dengan pelajar sendiri.


Bagi wa, guru-guru yang sering menyalahkan kerajaan semata-mata adalah guru yang tidak faham apa itu kerajaan. Bukankah mereka adalah kakitangan kerajaan. Jika salah kerajaan, bermakna mereka juga turut salah...
Wa kata yang betul: musangman Labels:
Tokoh syor empat langkah kurang beban tugas guru
Oleh Syuhada Choo Abdullah [2010/05/24]


Konsep ‘masyarakatkan pendidikan’ tak perlu kos tambahan


KUALA LUMPUR: Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, menyarankan empat langkah khusus untuk mengurangkan beban tugas guru di sekolah melalui konsep ‘memasyarakatkan pendidikan’ yang tidak mencetuskan kos tambahan kepada kerajaan.


Empat langkah berkenaan ialah memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa untuk menjayakan aktiviti di sekolah, mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan, mempergiatkan sumbangan bekas pelajar, serta mewujudkan persatuan pesara guru.


Beliau yang bertanggungjawab dalam penghasilan Laporan Abdul Rahman Arshad yang mengandungi 82 perakuan pada Ogos 1996, berkata sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan konsep berkenaan, sekali gus memperluaskannya ke sekolah di seluruh negara.


“Menggembleng sepenuhnya kerjasama serta peranan ibu bapa dalam pelaksanaan aktiviti di sekolah, terutama bidang kokurikulum, secara langsung akan membantu guru memfokus kepada tugas pengajaran dan pembelajaran.


“Sebagai contoh, ibu bapa diberi ruang dan kepercayaan untuk mengatur serta mengendalikan penganjuran Hari Sukan di sekolah yang membabitkan banyak kerja di luar bilik darjah dan memakan masa guru selama ini,” katanya kepada Berita Harian.


Akhbar baru-baru ini melaporkan sebanyak 40 cadangan mengatasi beban tugas guru dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan, termasuk mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah.


Abdul Rahman berkata, Kementerian Pelajaran juga harus mempergiat usaha mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan di sekolah sebagai tanggungjawab sosial.


Dalam konteks ini, katanya, sektor swasta mampu berperanan merapatkan jurang prestasi pencapaian serta infrastruktur antara sekolah di bandar dan pedalaman.


“Matlamat ini boleh dicapai melalui program seperti anak angkat oleh syarikat swasta, tidak kira yang besar mahu pun kecil. Ketika ini, program sedemikian masih kurang dan kebanyakannya hanya terhad kepada sekolah yang majikan syarikat itu adalah alumni.


“Satu lagi langkah berkesan ialah menggerakkan secara aktif sumbangan murid tua’ atau bekas pelajar di sesebuah sekolah untuk membantu guru menjayakan program penting seperti bimbingan kerjaya dan ceramah menghadapi peperiksaan utama,” katanya.


Beliau juga mencadangkan supaya persatuan pesara guru diwujudkan bagi membolehkan golongan yang kaya dengan pengalaman itu menyalurkan idea untuk membantu Kementerian Pelajaran menangani pelbagai isu berkaitan, termasuk dalam usaha mempertingkat profesionalisme guru.


Komen wa: Kah! Kah! Kah! Wa fikir sebahagian guru tentu seronok mendengar pendapat tokoh guru ini. Seronok sebab rupa-rupanya ramai pihak yang percaya, daripada Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri pelajaran hinggalah tokoh ini percaya akan dakwaan bahawa kebanyakan guru mempunyai beban tugas yang banyak. Bagi wa, secara konsisten wa tak percaya guru terbeban dengan tugas yang dilakukan sekarang. 'Banyak kerja' itu adalah alasan dan 'kambing hitam' untuk menutup realiti bahawa kebanyakan guru gagal dalam tugas hakiki mereka iaitu P&P, seterusnya menyebabkan kualiti pendidikan merosot, dan gagal melahirkan manusia yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Wa tak mahu ulas panjang-panjang pasal hal ini kerana dah berkali-kali wa menulisnya.Wa juga akui wa bukan perfect, wa bukan workerholic, tapi sekurang-kurangnya wa tahu yang mana alasan, dan yang mana keadaan sebenarnya. Wa juga bukan jenis yang hanya tahu menuntut dan menerima gaji yang tinggi, sedangkan kerja yang diberi tak mahu buat. Pada wa kalau wa menerima gaji RM 3000 sebulan, wa pasti kerja wa bukan setakat masuk ke kelas dan mengajar talk and chalk sahaja. Tentu banyak tugas persediaan P&P, semasa P&P dan selepas P&P, dan tugas-tugas inilah termasuklah memastikan pelajar hadir ke sekolah, berdisiplin dan sebagainya.

Sesetengah guru mungkin berbangga kerana sudah ada tokoh pendidik memperjuangkan nasib mereka. Tapi ingatlah pesanan wa, pendapat tokoh ini kalau diterimapakai, nescaya tugas guru bukan semakin berkurang, malah wa fikir akan bertambah. Cuba perhalusi perkara ini. PIBG yang sedia ada pada masa ini misalnya...adakah mereka membantu mengurangkan tugas guru? Jauh sekali...malah mereka turut tumpang semangkuk membebankan guru dengan menguruskan aktiviti mereka. Mereka pula jadi boss...seronok merancang, sedangkan pelaksananya tetap guru. Kerat kuku wa kalau ada sesiapa di kalangan guru yang hendak menafikannya. Begitu juga dengan cadangan-cadangan di atas. Wa fikir guru akan tetap diperkuda dan diperkuli oleh pihak-pihak yang dicadangkan itu iaitu ibu bapa, syarikat swasta, bekas pelajar dan pesara guru ini. Masa itu guru-guru bukan sahaja terpaksa akur kepada arahan Pengetua dan pentadbir lain, malah turut berbosskan pihak-pihak di atas. Percayalah cakap wa...


Wa kata yang betul: musangman
Sifat dan Ciri-ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid: Guru ini menunjukkan
  • Punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif
  • Hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid
  • Kenal, hormati dan percayai murid-murid
  • Mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis
  • Menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya
  • Menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran
  • Hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan muzikal dn kebudayaan.

 Terhadap Mengajar: Guru Yang Perkasa;
  • Melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru
  • Berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman
  • Adil dalam menilai dan menggred
  • Fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran
  • Bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
  • Seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya
  • Sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid
  • Merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran
  • Secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan
  • Menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.

 Terhadap Disiplin: Guru Yang Perkasa
  • Seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar
  • Seorang yang 'dahagakan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan
  • Juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya
  • Aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya
  • Menjadi ahli kepada komuniti yang belajar
  • Bina dan mengekalkan perhubungan profesional
  • Bekerja dalam organisasi sekolah yang luas

Secara Peribadinya: Seorang Guru Yang Perkasa itu sentiasa menunjukkan menunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi. Peribadi guru yang perkasa lagi berkesan berfikirn terbuka, berlapang dada, merendah diri dan bersikap optimistik. 
Wa kata yang betul: musangman
Kelas yang tadinya riuh rendah tiba-tiba senyap apabila Cikgu Din (bukan nama sebenar), guru yg paling garang dan mengaku macho masuk kedalam kelas.


Pelajar: Selamat pagi cikgu!..
Guru: (menengking) mengapa selamat pagi sahaja?.petang dan malam kamu doakan saya tak selamat?..
Pelajar: Selamat pagi,petang dan malam cikgu!..
 

Guru: Ermm, bagus...sekarang kata selamat sejahtera!..
Pelajar: Selamat sejahtera cikgu!!!..
 

Guru: Sama-sama. Duduk. Dengar sini,hari ni cikgu nak uji kamu tentang perkataan berlawanan.bila cikgu sebutkan perkataan,kamu mesti jawab dengan cepat.. faham semua!!...
Pelajar: Faham cikgu!.
 

Guru: perkataan pertama pandai!..
Pelajar: bodoh!
 

Guru: tinggi!
Pelajar: rendah!
 

Guru: jauh!
Pelajar: dekat!


Guru: berjaya!
Pelajar: OKU!
 

Guru: salah!
Pelajar: betul!
 

Guru: Bodoh!
Pelajar: Pandai!
 

Guru: Bukan!
Pelajar: ya!
 

Guru: oh tuhan!
Pelajar: oh hamba!
 

Guru: dengar sini!
Pelajar: dengar situ!
 

Guru: diam!
Pelajar: bising!
 

Guru: itu bukan pertanyaan bodoh!!
Pelajar: ini ialah jawapan pandai!
 

Guru: mati aku!
Pelajar: hidup kami!
 

Guru: rotan baru tau!
Pelajar: akar lama tak tau!
 

Guru: malas aku ajar kamu!
Pelajar: rajin kami belajar cikgu!
 

Guru: kamu gila!
Pelajar: kami siuman!
 

Guru: cukup! cukup!
Pelajar: kurang! kurang!
 

Guru: sudah! sudah!
Pelajar: belum! belum!
 

Guru: kurang ajar kamu!
Pelajar: cukup ajar kami!
 

Guru: habis aku!
Pelajar: kekal kami!
 

Guru: OK pelajaran sudah berakhir!
Pelajar: KO pelajaran belum bermula!
 

Guru: saya kata OKU tu salah!
Pelajar: kami dengar berjaya betul!
 

Guru: kamu di tahan tengah hari ini!
Pelajar: dilepaskan tengah malam itu!
 

Guru:(senyap lalu mengambil buku dan keluar)

Tidak lama kemudian rehat bermula.para pelajar merasa lega kerana guru yang paling garang telah pun keluar. Walau bagaimana pun mereka bangga kerana dapat menjawab kesemua soalan guru tersebut.



sekian adanya.
Wa kata yang betul: musangman Labels:

Coretan berikut wa ambil dari salah sebuah akhbar arus perdana. Wa fikir ia adalah salah satu dari ribuan warga guru yang mempunyai pandangan yang sama dengan wa dalam isu beban tugas guru.

Guru dibebani tugas berat - betul atau salah?

TERTARIK sungguh apabila membaca komentar Wahid Hashim dalam laman Pendidikan, Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2010 yang bertajuk 'Mencemburui gaji guru'. Terdetik hati saya untuk bersama-sama berkongsi pendapat dan pandangan tentang isu-isu yang dibangkitkan.

Tulisan beliau yang menjurus kepada reaksi KPPK untuk bersemuka dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas beberapa isu berkaitan bebanan tugas dan kenaikan gaji guru, sedikit sebanyak mampu membuka minda semua yang terlibat dalam profesion keguruan.

Bebanan tugas guru ibarat isu yang tidak ada kesudahannya, padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru tetapi oleh sebahagian guru terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah dan sebagainya.

Namun yang pelik dalam 'gegak-gempita' isu bebanan tugas guru ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru tersebut menjawat 'dua profesion' dalam satu masa.

Sebenarnya 'atas kertas,' Kementerian Pelajaran telah imbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru-guru muda yang hanya mampu dicapai oleh guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif lain.
Akan tetapi yang peliknya, gaji lumayan seolah-olah membawa kesan negatif kepada dunia pendidikan apabila guru berkenaan hilang semangat untuk berkorban dan 'rasa susah' demi mendidik anak bangsa. Tuisyen berbayar hanya dipandang sebelah mata apatah lagi tuisyen percuma dan ditambah lagi dengan alasan suami tidak izin, anak sakit dan seribu satu alasan lain.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan, berjenis 'kabel' digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga 'jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi'.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang 'enggan susah' dan bersikap 'anak manja' maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru terbabit. Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani dengan pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru tersebut. Mereka akan dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari, sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain 'enak dibuai mimpi'.

Setiap profesion tentu ada cabarannya lebih-lebih lagi profesion keguruan. Namun, jika ia tidak diseimbangkan dengan adil, akan berlakulah bebanan tugas tersebut. Tentu amat terbeban jika seseorang guru yang mengajar kelas peperiksaan lebih tiga tahun secara berterusan, guru yang memegang lima jawatan utama sekolah dalam satu masa dan sebagainya.

Sebagai 'orang lama' dalam dunia pendidikan, KPPK kini dilihat semakin hilang 'sengat' terutama pada kaca mata guru-guru lama. KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak yang lain.
Jadi, untuk mengembalikan 'taring' KPPK, peranan sebenar KPPK adalah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan. Insentif berbentuk elaun mampu memberi keadilan kepada guru-guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu. Jangan hanya 'terjah' dan 'timbang kilo' tanpa fakta yang tepat kerana ini hanya merugikan guru-guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

Kerajaan pula hanya membazir wang negara andai kata memberi ganjaran seperti elaun dan bonus kepada kakitangannya yang tidak produktif. Eloklah kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengkaji elaun-elaun yang telah diberikan kepada guru-guru agar dinikmati hanya oleh guru-guru yang benar-benar layak dan berhak.

Setiap sen wang negara yang diperoleh oleh para guru adalah ibarat titisan keringat ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak mereka demi kelangsungan hidup yang mendatang. Fikir-fikirkanlah.

IRMAZ DINI
Pendang, Kedah
Wa kata yang betul: musangman
Isu ejen-ejen perniagaan syarikat direct selling yang kerap menjadikan sekolah sebagai sasaran bukanlah isu baru. Isu ini kejab timbul, dan kejab tenggelam.


Di sekolah, kalau kita rajin memerhati, setiap hari atau dalam masa seminggu tentu ada saja ejen-ejen daripada pelbagai jenis perniagaan, daripada ejen insurans hinggalah ejen menjual madu lebah akan datang ke sekolah. Malah, ada sesetengah ejen (ejen insurans tertentu misalnya) dengan beraninya menggunakan kesatuan-kesatuan guru tertentu untuk memperdayakan sebahagian guru-guru untuk membeli produk mereka. Berbanding dengan jabatan kerajaan lain, sekolah nampaknya menjadi ‘lubuk emas’ bagi ejen-ejen mencari rezeki. “Pergilah ke sekolah, nescaya anda akan mendapat client” Barangkali inilah motto atau prinsip ejen-ejen direct selling tersebut. Berniaga memang tidak salah, sama ada dari sudut agama, mahupun perundangan. Namun penggunaan tipu daya dan unsur pujukan melampau supaya seseorang terdorong untuk membeli sesuatu produk adalah salah dan haram. Mengapa sebahagian guru mudah terpedaya dengan tektik ejen-ejen yang licik ini?


Selain terdedah kepada penipuan ejen-ejen direct selling ini, ramai juga warga guru (khususnya guru Melayu Islam) mudah terpengaruh dengan bentuk perniagaan MLM, daripada skim Buloh Emas sampailah ke skim top up. Malahan ada guru yang kerugian belasan, malahan puluhan ribu. Sekali terpedaya mungkin orang kata dia bodoh, tetapi kalau sampai tiga atau empat kali, wa tak tahulah nak cakap apa lagi. Bangangpun masih tak mengambarkan tahap mentaliti guru tersebut. Hakikatnya ramai warga guru telah terkena. Malangnya kadang-kala yang memperdayakan golongan guru ini adalah guru juga. Ni yang wa kadang-kala sedih. Mengapa guru mudah tertipu, dan ada pula guru yang sanggup menipu?


Persoalan ini tidak mudah untuk dirungkai. Pernahkah anda mendengar perumpamaan “Tempat yang paling selamat adalah tempat yang paling bahaya.”? Kini perumpamaan itu mungkin telah ditukar oleh ejen-ejen direct selling atau MLM tu menjadi “Tempat yang paling mudah menipu adalah di tempat yang penuh dengan golongan cerdik pandai.”


Faktanya ramai guru telah kerugian kerana diperdaya (ditipu). Persoalannya mengapa guru mudah ditipu? Mungkin akan ada rakan guru menunjukkan kebodohan dengan menjawab guru juga manusia biasa. Pada wa, ini yang tak betulnya. Sebagai guru lu tak boleh gunakan fikiran dan alasan klise ‘guru juga insan biasa’. Lagipun betul ke manusia biasa boleh selalu kena tipu? Wa fikir helah bela diri itu sangat negatif dan tidak boleh diterima. Pada wa, guru adalah guru. Guru adalah golongan bijak pandai. Guru adalah tenaga pengajar dalam pelbagai disiplin ilmu. Guru perlu membuktikan mereka bijaksana (bijak di sana dan bijak di sini) dan layak mengajar orang lain. Guru perlu mempunyai kualiti guru yang mereka ada sebelum mengajar orang lain. Sepatutnya sebagai ilmuan, guru sukar ditipu. Sepatutnya ilmu menjadi benteng ampuh untuk membolehkan seseorang memelihara maruah, diri dan harta benda mereka. Malangnya ini tidak berlaku. Ramai guru gagal dalam aspek ini. Kalau guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari. Kalau belajar dengan guru yang selalu kena tipu - bodoh, bolehkah anak murid yang pintar dapat dihasilkan? Pada wa, guru ‘kena tipu’ adalah sesuatu yang memalukan, dan merendahkan integriti guru. Guru yang mengajar mata pelajaran Perdagangan, ekonomi dan Pengajian Perniagaan, yang berkobar-kobar mengajar ilmu perniagaan kepada murid-murid misalnya, kemudian terdengar cerita beliau ditipu oleh seorang jurujual lulusan SPM yang menjual penapis air.  Adakah guru tersebut boleh dipandang tinggi oleh rakan-rakan guru lain dan para pelajar mereka? Kalau wa, sorilah tak kuasa wa nak menuntut ilmu daripada golongan yang hanya tahu bercakap, tapi kosong dalam amalannya.


Pada wa, ada dua faktor utama mengapa sebahagian guru mudah ditipu;


1.Tidak Berbudaya Ilmu : Tidak gemar menuntut ilmu - Sentiasa Perasan Diri Hebat dan Sempurna


Sudah Bukan rahsia kebanyakan guru, setelah habis belajar dan mendapat kerja (guru), mereka tidak mahu belajar lagi. Alasan yang diberi "Dah penatlah", "dah tualah", "otak dah tak boleh terimalah" [Yang pelik kalau bab menambah anak tak pula terasa penat. Wakaka] Kalau belajarpun, itupun dah kira baik...hanyalah membuat Masters dengan harapan suatu hari nanti kerajaan akan memberi kenaikan pangkat dan gaji atas tiket pemegang Masters itu tadi. Sebahagian besar guru malas membaca (kalau membacapun hanya membaca blog yang tiada kesahihan sumber berita, majalah-majalah ringan dan akhbar-akhbar – itupun kalau ada cerita tentang kes rogol dan cabul) , malas mendengar forum ilmu, enggan hadir ke majlis-majlis ilmu, dan kurang bergaul dengan golongan berilmu. Malah kalau hadir di majlis Yassin di taman atau kampung masing-masingpun, ramai yang tidak mendengar tazkirah yang disampaikan oleh imam selepas bacaan Yassin selesai, sama ada mereka sibuk bercakap-cakap sesama rakan lain, atau sibuk tidur. Wa percaya, LADAP (Latihan Dalam Perkhidmatan) yang diperkenalkan mulai tahun ini - berbentuk book review – ‘baca buku ilmiah, dan bentang’ akan menjadi polimik berpanjangan. Akan ada ramai yang menentang daripada bersetuju dengan polisi ini. Seperti biasa, KPPK akan menyokong dan mengatakan guru terbeban.


2. Berfikiran songsang - Ilmu hanya untuk diajar, bukan untuk manfaat diri!


Mungkin ada guru marah apabila wa kemukakan fakta ini. Semua orang boleh menafikannya, tapi dari kes-kes guru yang ditipu dengan begitu mudah, dengan hanya berpandukan pelan pemasaran yang ditulis di atas kertas, dengan hanya mempercayai apa yang dikata oleh pemangsa, nyata apa yang wa kemukakan ada banyak benarnya. Itu menunjukkan sesetengah guru hanya tahu mengajarkan sesuatu ilmu kepada pelajar mereka, sedangkan mereka sendiri tahu yang mereka tidak mengamalkannya. Sedangkan untuk menjadi Guru yang hebat, ilmu tersebut sepatutnya diamalkan dulu. Sesetengah guru mungkin berhujah bahawa guru bukan memiliki semua pengetahuan, lantaran mereka mengajar dan belajar di universiti mengikut opsyen tertentu. Di sini, wa ingin membetulkan persepsi tersebut. Di maktab terutamanya, dan di universiti amnya, seorang guru telah diingatkan bahawa di sekolah, mereka perlu mampu mengajar semua mata pelajaran. “Ikut arahan ketua jabatan, jangan menolak tugasan yang diberi”. Justeru dalam memenuhi keperluan semasa, guru perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan kemahiran, bukannya mencari alasan, walhasil dalam bidang opsyen sendiripun memiliki pengetahuan yang cetek sekadar tahap pelajar SPM yang diajar sahaja.


Ilmu yang dipelajari mesti diamalkan, barulah ilmu tersebut berfaedah. Guru Sains misalnya, yang mengajar dan kenal pelbagai bakteria, sepatutnya mengamalkan kebersihan, bukannya menjadikan makmal atau meja mereka di bilik guru sebagai sarang pembiakan bakteria tersebut. Begitu juga dengan guru ekonomi dan perakaunan, mereka perlu menguruskan kewangan sendiri dengan cekap dan berkesan dulu, bukannya mereka menjadi juara berhutang kad kredit dan juara meminjam dari bank rakyat melebihi kemampuan diri. Amal dulu, baru ajar…tu baru betul!


Kesimpulannya, guru yang mudah diperdayakan turut mencemarkan imej keguruan, dan menyebabkan masyarakat hilang respect kepada guru.


Sekian adanya...
Wa kata yang betul: musangman Labels:
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger template by blog forum